
KANGAR, 14 Januari – Seramai 31 pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang terjejas akibat banjir menerima sumbangan bakul makanan dan wang tunai berjumlah RM33,250 menerusi Program Sumbangan Kebajikan yang dianjurkan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama Persatuan Isteri dan Pegawai Wanita JBPM (PERISMA) Kebangsaan.
- 31 pegawai JBPM terjejas banjir menerima bakul makanan dan wang tunai sebagai bantuan kebajikan.
- Program dianjurkan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama PERISMA Kebangsaan dan NGO seperti 99 Speedmart.
- Tujuan program memperkukuh kebajikan anggota dan memberi sokongan moral kepada yang terkesan.
Selain itu, seorang penerima bantuan keilatan hilang saraan turut menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM2,000.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JBPM merangkap Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM, Datuk Ir Ahmad Izram Osman berkata program seumpama itu bertujuan memperkukuh kebajikan anggota serta menyalurkan bantuan kewangan kepada pegawai dan anggota bomba yang terkesan akibat bencana dan musibah.
Menurutnya, walaupun bantuan yang disalurkan tidak besar, ia memberi impak penting sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada anggota yang terlibat.
“Bantuan ini melambangkan keprihatinan kami terhadap anggota yang terkesan akibat bencana. Selain itu, kami turut menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan, termasuk 99 Speedmart, yang menyumbang dalam bentuk bantuan makanan kepada mangsa banjir,” katanya.
Datuk Ir Ahmad Izram berkata demikian ketika ditemui pada Program Sumbangan Kebajikan Persatuan Kebajikan JBPM dengan kerjasama PERISMA Kebangsaan di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perlis.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sehingga Disember 2025, keahlian Persatuan Kebajikan JBPM Perlis mencecah 228 orang atau 93.4 peratus, sekali gus memastikan kebajikan anggota terus terpelihara.