fb fb fb fb fb

30,648 notis larangan merokok di premis makanan dikeluarkan tahun lalu

(Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Hasil
Tembakau 2004 yang dijalankan KKM di sekitar Ipoh malam tadi/ FB KKM)

IPOH, 26 Mei - Sebanyak 30,648 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM7.6 juta telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli, lima negeri merekodkan pengeluaran notis tertinggi iaitu Selangor dengan 6,414 notis diikuti Johor (3,095), Pahang (2,935), Perak (2,808) dan Pulau Pinang (2,725).

Beliau berkata bagi tempoh empat bulan pertama pada tahun ini pula, sejumlah 14,872 notis kesalahan merokok di premis makanan dikeluarkan membabitkan nilai kompaun sebanyak RM3.72 juta. 

"Operasi ini yang dijalankan di kawasan hotspot di seluruh negara menyasarkan tempat larangan seperti premis makan, dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, premis kerajaan, kompleks membeli belah, tandas awam, pusat hiburan, klinik atau hospital serta kawasan rehat dan rawat," katanya.


(Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli / BERNAMA)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Hasil Tembakau 2004 yang dijalankan di sekitar Ipoh malam tadi.

Mengulas mengenai operasi berkenaan, Dr Norhayati berkata sebanyak 424 notis kesalahan di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Peraturan 11 antaranya 202 notis di premis makan, kompleks beli-belah (108), kenderaan awam (34) serta premis kerajaan (28).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan untuk menghukum golongan perokok tetapi ia dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat tersebut kepada golongan perokok serta perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling perokok," ujarnya.

Media Baharu