fb fb fb fb fb

3,869 berlindung di PPS di Johor, Perak kekal 31 orang

37 PPS dibuka di negeri Johor/Foto APM Kluang

KOTA TINGGI, 12 Januari - Jumlah penduduk terjejas banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor terus meningkat malam ini berbanding petang tadi manakala di Perak kekal.

Di JOHOR, setakat 8 malam ini seramai 3,869 orang berlindung di PPS berbanding 3,779 orang yang direkodkan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada 1,093 keluarga.

Mereka ditempatkan di 37 PPS di lima daerah yang terjejas. 

"Daerah Kota Tinggi mencatatkan jumlah terjejas banjir tertinggi dengan 1,262 orang, diikuti Johor Bahru (774), Kulai (735), Pontian (568) dan Kluang (530).

“Selain itu, hanya stesen Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang dilaporkan melebihi paras bahaya dengan bacaan 15.62 meter (m) (trend menurun)," katanya dalam kenyataan malam ini.

Azmi berkata Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) di Kota Tinggi masih ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan susulan dinaiki air, sementara Jalan Tanjung Sedili di daerah sama hanya dibuka satu lorong.

Beliau berkata Johor Bahru, Mersing, Pontian dan Kota Tinggi diramalkan hujan pada malam ini manakala enam daerah lain di negeri itu diramal mendung.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan jumlah terjejas banjir di daerah Manjung kekal 31 orang daripada sembilan keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Agama Rakyat Padang Serai di Beruas sejak Khamis lepas.

"Kesemua penduduk dari Kampung Padang Serai, Kampung Kasi serta Kampung Pengkalan Damar," menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan air Sungai Rui di daerah Hulu Perak berada pada paras berjaga-jaga iaitu 165.43m berbanding paras normal 165.10m.

GRACE AISYAH KEDAYAN