(FOTO IHSAN PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH)
POKOK SENA, 11 April- 3,333 buah keluarga asnaf fakir dan miskin di lima daerah di Kedah iaitu daerah Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Kuala Muda dan Yan bakal menerima manfaat daripada Program Infaq Ayam Segar sempena Aidilfitri tahun 2023 oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
Ia melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM99,990.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali berkata, semua penerima akan menerima sumbangan sebanyak dua ekor ayam segar bersaiz dalam anggaran 1.5 hingga 1.7 kilogram daripada LZNK.
Beliau berkata, Program Infaq Ayam Segar Kepada Asnaf Fakir dan Miskin Sempena Hari Raya Aidilfitri telah menjadi program tahunan di dalam bulan Ramadan setiap tahun sejak dari tahun 2021.
“Program ini telah membantu sedikit sebanyak meringankan beban para penerima dalam membuat persiapan menghadapi hari Raya Aidilfitri di samping dapat juga membuka ruang dan peluang kepada semua individu mahupun syarikat -korporat untuk turut serta menyumbang kepada program ini melalui portal rasmi 'AsnafCare',"katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, hari ini.
(FOTO IHSAN PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH)
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perasmian Program Infaq Ayam Segar Kepada Asnaf Fakir Dan Miskin Sempena Aidilfitri Tahun 2023 bertempat di Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena.
Hadir sama, Mufti Negeri Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang; Ketua Hakim Syarie merangkap Ahli Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Abd Rahman Abdullah; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Zakaria Othman.
Pada tahun 2022, LZNK telah berjaya mencapai peningkatan jumlah hasil kutipan zakat sehingga RM9 juta menjadikan kutipan zakat keseluruhan sebanyak RM252 Juta.
Daripada jumlah tersebut, LZNK telah berjaya mengagihkan sebanyak RM206.4 juta pada tahun 2022 melalui lebih 80 skim agihan zakat yang telah diwujudkan bagi memastikan kebajikan para asnaf terbela.
(FOTO IHSAN PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH)