fb fb fb fb fb

3,000 pelajar terpilih sertai Program Mata Hati Wilayah 2024

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Seramai 3,000 orang pelajar membabitkan lima buah sekolah sekitar Wilayah Persekutuan dipilih menyertai Program Mata Hati Wilayah 2024.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melalui flagship Sihat @ PUJI dan Ilmu @ PUJI.

Selain itu, objektif utama adalah menangani masalah kesihatan mata dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

"Kita lakukan saringan kepada 3,000 orang pelajar dan anak-anak murid dan daripada itu 500 akan dipilih untuk menerima bantuan cermin mata secara percuma."

"Ini adalah penting kerana kita telah ada beberapa data yang menunjukkan bahawa ramai kanak-kanak di sekolah mengalami masalah penglihatan, rabun khususnya tetapi tidak disahkan lebih awal."

"Jadi, menyebabkan akhirnya mereka diantara sebahagiannya tercicir dari sudut pembelajaran," kata Dr. Zaliha kepada pemberita dalam sidang mediaMajlis Perasmian Program Mata Hati Wilayah 2024 di ibu negara.

Tambah beliau, program tersebut juga merupakan manifestasi komitmen PUJI bagi menyediakan ekosistem "exit strategy" kepada kemiskinan di Wilayah Persekutuan.

Lima sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Sekolah Kebangsaan Desa Tasik, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 1 dan juga Sekolah Kebangsaan La Salle.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM