fb fb fb fb fb

3,000 sertai Himpunan Penang Solidariti Bersama Misi GSF

Foto RTM

GEORGETOWN, 5 Oktober - Kira-kira 3,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan agama menghadiri Himpunan Penang Solidariti Bersama Misi GSF di Speaker’s Corner, Padang Kota Lama.

Himpunan itu menyaksikan rakyat terus menzahirkan penghargaan atas usaha dan tindakan pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membebaskan 23 aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditawan Israel.

Orang ramai yang ditemui RTM menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar dan kerajaan dalam memperjuangkan pembebasan Palestin.

Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam Pulau Pinang, Azmi Jaafar antara yang berterima kasih dengan Perdana Menteri atas kejayaan menyelamatkan wira dan wirawati negara.

"Dengan usaha kerajaan Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus mengambil tindakan yang begitu tegas dan juga kerjasama diplomasi bersama negara-negara Asia Barat seperti Turkiye, Jordan dan lain-lain, kita berjaya membawa balik seluruh rakyat Malaysia."

"Terima kasih juga kepada kedutaan Malaysia dan kedutaan-kedutaan negara lain yang membantu mempercepat pemprosesan pembebasan mereka," katanya.

Sementara itu, wakil Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin Zon Utara, Muhammad Zulfikar Azlan Mohd Shariff berkata, pendekatan Datuk Seri Anwar yang menjalin hubungan baik dengan negara-negara sahabat telah mempermudah usaha membawa keluar aktivis Malaysia dari Israel.

"Kelebihan Perdana Menteri yang menjalin hubungan baik dengan Turkiye dan Presiden Recep Tayyip Erdogan membantu melancarkan proses pembebasan sukarelawan kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel," menurut beliau.

Aktivis masyarakat, Farid Suwardi Mat Yusoff pula berharap gelombang misi kemanusiaan ke Gaza akan diteruskan sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

"Saya mengharapkan juga gelombang yang kedua, ketiga dan seterusnya dapat diteruskan bagi kita memecahkan formasi Israel di persisiran Gaza agar kita dapat memberikan perlindungan, makanan dan juga perubatan kepada rakyat Palestin."

"insya-Allah kita mendoakan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang akan terus bersama-sama dalam solidariti ini," tambahnya lagi.

Himpunan Himpunan Penang Solidariti Bersama Misi GSF merupakan anjuran gabungan pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pulau Pinang.

EMMI NORALIZA ADNAN