fb fb fb fb fb

Misi FFC Gaza: Kapal Conscience bakal memasuki zon kuning esok

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober — Kapal Conscience yang membawa seramai lapan sukarelawan Malaysia menerusi misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) bersama Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dijangka memasuki zon kuning sekitar pukul 5.00 pagi waktu Malaysia esok.

Menurut ibu pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), sembilan kapal berkenaan kini berada kurang 270 batu nautika dari perairan Gaza, dengan anggaran tempoh pelayaran tiga hingga empat hari lagi bergantung kepada keadaan cuaca dan ombak semasa.

Buat masa ini, kapal Conscience dilaporkan berhenti sepenuhnya bagi melaksanakan prosedur keselamatan rutin termasuk pemeriksaan terhadap sistem tenaga, navigasi dan struktur kapal selepas pelayaran panjang.

MyCARE turut memaklumkan bahawa pihaknya sudah berhubung dengan Wisma Putra mengenai penyertaan delegasi Malaysia dalam misi tersebut bagi tujuan keselamatan sekiranya berlaku insiden tidak diingini seperti penahanan atau penculikan oleh rejim Zionis.

Delegasi Malaysia diketuai oleh MyCARE, dengan lapan peserta menaiki kapal Conscience manakala seorang lagi berada di atas kapal layar Umm Saad.

Kesemua sukarelawan Malaysia telah menjalani latihan intensif termasuk latihan tanpa kekerasan (non-violence training) sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

Misi FFC disertai 150 peserta dari 25 negara dan bertujuan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin selain membawa bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan serta peralatan perubatan ke Gaza.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD