fb fb fb fb fb

27, 852 terjejas banjir di enam buah negeri setakat 11.43 malam tadi

Kakitangan Hospital Hulu Terengganu menaiki jengkaut sebelum dipindahkan ke bot untuk ke hospital selepas jalan utama Ajil-Kuala Berang terputus berikutan banjir/FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Situasi banjir yang melanda enam buah negeri di Kelantan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor dan Sabah telah menjejaskan 27, 852 orang penduduk setakat pukul 11.43 malam ini.

Kesemua yang terjejas melibatkan keseluruhan 8, 706 jumlah keluarga.

Menurut portal https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index sebanyak 138 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas banjir.

Di KELANTAN jumlah penduduk terjejas banjir merekodkan 21, 366 orang yang terdiri daripada 6,904 keluarga setakat 10.51 malam tadi.

Kesemua mangsa di lima jajahan iaitu Pasir Mas, Kuala Krai, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang itu berlindung di 67 PPS.

Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, jumlah mangsa di Pasir Mas meningkat kepada 18,364 orang berada di 37 PPS berbanding 15,546 orang petang tadi.

Mangsa banjir paling ramai berlindung di Pasir Mas adalah di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi (2,061 orang), SK Sri Rantau Panjang 2 (1,948 orang) dan SK Gual To' Deh (1,827 orang).

Di TERENGGANU, seramai 6, 232 penduduk terjejas yang terdiri daripada 1,724 keluarga setakat 11.43 malam tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di 61 PPS.

Di SABAH, jumlah penduduk banjir menurun setakat 3.41 petang tadi kepada 20 orang daripada 10 keluarga yang berlindung di 2 PPS di Beluran.

Di SELANGOR, setakat 12.50 pagi semalam pula hanya merekodkan 4 orang terdiri daripada 1 keluarga yang ditempatkan di satu PPS sejak 25 Disember lalu.

Di PAHANG, seramai 119 penduduk terjejas banjir terdiri daripada 35 keluarga berlindung di empat PPS setakat 7.47 malam tadi.

Di JOHOR, jumlah penduduk terjejas banjir menyaksikan 113 orang terdiri daripada 32 keluarga yang berlindung di 3 pusat PPS, setakat 11.32 malam tadi.

GRACE AISYAH KEDAYAN