fb fb fb fb fb

KPDNHEP terima 24,018 aduan transaksi dalam talian

KUALA LUMPUR, 14 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima sebanyak 24,018 aduan berkaitan kes penipuan secara dalam talian dan media elektronik melibatkan kerugian sebanyak RM21.7 juta sejak 2020 sehingga 17 Februari lalu.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bagi membendung masalah penipuan pembelian dalam talian agar ia tidak menjejaskan kerancakan urus niaga semasa, KPDNHEP kini dalam proses menguatkuasakan perundangan transaksi dalam talian menerusi pindaan Akta Perdagangan Elektronik 2006.

Jelasnya, perundangan transaksi itu akan turut melibatkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), pengendali tapak pasar dalam talian dan pemain industri berkaitan selaras Pelan Hala Tuju Strategik eDagang (NESR).

"Kementerian turut mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) termasuklah syarikat telekomunikasi dan pengendali tapak pasar dalam talian bagi membanteras kegiatan manipulasi peniaga yang tidak beretika."


(Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini)

Nanta Linggi menjawab pertanyaan wakil Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang membangkitkan perkara itu ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi ini.

Tambahnya, susulan penularan wabak COVID-19 dan pembudayaan norma baharu, pembelian dalam talian telah menjadi pilihan utama kepada pengguna untuk berbelanja.

Media Baharu