KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Kawalan keselamatan di sempadan Sarawak–Kalimantan bakal diperkukuh menerusi pelaksanaan 22 projek pembangunan baharu oleh Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), hasil peruntukan khas daripada kerajaan berjumlah lebih RM64 juta.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdepan ancaman jenayah rentas sempadan menjelang pemindahan ibu kota Indonesia ke Nusantara.
"Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sejumlah RM64,318,800 di bawah peruntukan khas pembangunan sempadan Sarawak kepada Briged Sarawak PGA bagi 22 projek pembangunan dengan pecahan 14 projek bukan fizikal. Melibatkan perolehan peralatan operasi dan lapan projek fizikal," jelasnya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi dalam Dewan Rakyat hari ini.
Jelasnya, projek tersebut termasuk penyediaan aset pengawasan moden bagi memperkukuh rondaan dan risikan keselamatan di kawasan sempadan.
Usaha itu seiring dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan sistem kawalan sempadan yang lebih efisien, moden dan berteknologi tinggi, termasuk penggunaan drone pengawasan taktikal serta radar termal mudah alih bagi operasi berterusan di lapangan.
Inisiatif bersepadu itu bukan sahaja bertujuan menjaga kedaulatan negara, malah menjamin keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat di kawasan sempadan Sarawak yang dijangka berdepan peningkatan aktiviti ekonomi dan mobiliti penduduk dalam tempoh beberapa tahun akan datang.