KUALA LUMPUR, 30 Oktober - Sebanyak 59 daripada 60 jawatan Timbalan Penguasa Polis (DSP) di Sarawak telah berjaya diisi setakat ini, mencatatkan kadar pengisian 98.3 peratus, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata, kadar pengisian tinggi itu membuktikan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keanggotaan pasukan keselamatan berada pada tahap optimum di seluruh negeri termasuk kawasan luar bandar seperti Lubok Antu.
"Setakat ini sebanyak 1,128 (98.17%) daripada 1,149 jumlah keseluruhan jawatan telah berjaya diisi.
"Bagi Kawasan Daerah Lubuk Antu, terdapat satu perjawatan yang telah diisi sepenuhnya iaitu 100 peratus, manakala bagi negeri Sarawak, sebanyak 59 daripada 60 jumlah jawatan telah diisi, mencatatkan kadar pengisian 98.3 peratus", katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi, dalam Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, proses pemangkuan pangkat dalam PDRM kini melalui penambahbaikan menyeluruh bagi memastikan hanya calon yang benar-benar layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.
Antara syarat utama termasuk keputusan sekurang-kurangnya 3H dalam Penilaian Kompetensi, serta indeks jisim badan (BMI) tidak melebihi 28, selain lulus tapisan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bebas daripada hukuman tatatertib.
Tegasnya juga, penambahbaikan itu bukan sahaja menjamin ketelusan proses pemilihan, tetapi turut memberi motivasi kepada pegawai dan anggota polis untuk meningkatkan prestasi dalam menjaga keselamatan dan keharmonian negara.