fb fb fb fb fb

22 PATI Myanmar ditahan di kawasan ladang getah

(FOTO 2 DIVISYEN)

BUKIT KAYU HITAM, 20 Julai- Cubaan 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar menyelinap masuk ke negara ini melalui sempadan Malaysia/Thailand gagal, apabila ditahan petang semalam.

Kesemua PATI ditangkap di kawasan ladang getah Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia, di sini.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan memaklumkan, penahanan dibuat setelah Tim Ronda yang sedang melaksanakan tugas di kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand mengesan pergerakan masuk sekumpulan individu disyaki PATI.

"Anggota bertugas seterusnya bertindak menjejaki dan menahan kumpulan tersebut melibatkan seramai 22 orang.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur antara 19 hingga 45 tahun terdiri daripada 14 lelaki dan 8 perempuan.

"Turut dirampas lima buah telefon bimbit, sejumlah wang tunai dan 22 beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM2,600.00," menurut kenyataan itu.

Kesemua PATI tersebut kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Tambah kenyataan itu, pasukan beroperasi akan terus memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

(Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam/2 DIVISYEN)

Media Baharu