fb fb fb fb fb

218 anggota Bomba sukarela Bukit Mertajam terima tajaan caruman SKSPS

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bersama penerima caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) / Foto RTM

SEBERANG JAYA, 21 April- Seramai 218 anggota Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Kesemua sukarelawan berkenaan akan diberi perlindungan SKSPS selama setahun bermula daripada tarih didaftarkan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata tajaan tersebut merupakan tanda penghargaannya kepada anggota bomba sukarela berkenaan yang berkhidmat secara percuma kepada masyarakat.

"Jadi sebelum ni, bomba sukarela melindungi kita melindungi masyarakat setempat tidak kira kaum dan agama. Jadi, hari ini, kita ingin memberikan perlindungan kepada bomba sukarela.

"Sebenarnya, bomba sukarela ini juga telah pun menerima satu bentuk takaful dari kerajaan. Ini merupakan penambahbaikan", kata Sim demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Tajaan dan Taklimat SKSPS kepada Persatuan Bomba Sukarela Bukit Mertajam bertempat di Pejabat PERKESO Pulau Pinang di sini.

Terdahulu, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM100 juta geran padanan untuk rakyat Malaysia yang bekerja sendiri bagi caruman SKSPS di mana 90 peratus dari bayaran ditanggung oleh kerajaan.

Sehingga kini, hampir 150,000 individu seluruh negara telah mencarum dalam skim tersebut dengan jumlah sasaran pencarum sebanyak 500,000 individu.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD