IPOH, 1 Februari- Kira-kira 2,000 pelajar dari sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Tambun menerima sumbangan persediaan persekolahan menerusi program 'Back To School 2025' di Sekolah Kebangsaan Meru Raya, Ipoh.
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, program itu bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung ibu bapa dalam melakukan persediaan untuk anak-anak mereka yang akan memulakan sesi persekolahan baharu pada Februari ini.
Beliau berkata sumbangan tersebut akan memanfaatkan pelajar khususnya dari golongan keluarga B40 dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000.
"Program kembali ke sekolah ini saya percaya banyak tempat yang lakukan. Jadi, lebih ramai yang sempurnakan, itu lebih baik. Oleh sebab itu, bagi Perdana Menteri program ini diteruskan.
"... dan dalam masa sama fokus diberikan kepada keluarga yang betul-betul memerlukan. Kita tengok kalau keperluan, saya percaya kita akan tambahkan lagi penerima itu dari semasa ke semasa", katanya kepada pemberita pada program 'Back To School 2025' di Sekolah Kebangsaan Meru Raya, Ipoh.
Tambahnya, pemberian sumbangan berbentuk baucar bernilai RM100 itu dapat memastikan kebajikan dan kesejahteraan para pelajar terjamin, selain memberikan suntikan moral kepada mereka untuk memulakan sesi persekolahan baharu.