
GEORGE TOWN, 1 Februari – Seramai 200 sukarelawan Wira Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) digerakkan bagi membantu melancarkan sambutan Thaipusam
di Pulau Pinang.
- 200 sukarelawan Wira KUSKOP digerakkan untuk membantu logistik, kawalan trafik dan kebajikan semasa sambutan Thaipusam di Pulau Pinang.
- Bantuan memberi tumpuan kepada warga emas, OKU, ibu mengandung dan keluarga beranak kecil bagi memastikan kelancaran dan keselamatan.
- Peruntukan RM150,000 diumumkan untuk dua kuil utama di Kebun Bunga menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan dan amal.
- KUSKOP menyediakan reruai pertama kali di Thaipusam menawarkan rehat, makanan, saringan kesihatan dan maklumat geran pembiayaan.
Ia sekali gus mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sukarelawan yang terdiri daripada belia pelbagai kaum dan agama itu bertugas secara sukarela bagi membantu aspek logistik, kawalan trafik serta kebajikan pengunjung.
Menurut beliau, antara tumpuan utama bantuan ialah kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu mengandung serta keluarga yang membawa anak kecil, bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang perayaan.
“Saya juga berasa amat bangga kerana di reruai KUSKOP tahun ini kita ada 200 orang wira KUSKOP yang kebanyakannya terdiri daripada anak muda Malaysia pelbagai kaum dan agama.
“Inilah keunikan dan keindahan negara kita,” beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program KUSKOP MADANI bersempena Thaipusam 2026 di sini.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Datuk Seri S. Sundarajoo.
Dalam perkembangan lain, Steven Sim turut mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM150,000 kepada dua kuil utama di Kebun Bunga, melibatkan RM100,000 kepada Penang Waterfall Hilltop Temple dan RM50,000 (Kuil Ayira Vaisiyar Sri Meenakshi Sundareswar).
Peruntukan tersebut bagi menyokong aktiviti keagamaan, kebajikan dan amal, selain mengiktiraf sumbangan berterusan komuniti India dan penganut Hindu terhadap pembangunan negara sejak ratusan tahun lalu.
Selain itu, beliau memaklumkan buat pertama kali KUSKOP menyediakan reruai bersempena Thaipusam di Pulau Pinang, menawarkan kemudahan rehat, makanan, minuman, saringan kesihatan serta khidmat maklumat berkaitan geran dan pembiayaan keusahawanan.