fb fb fb fb fb

200 peserta Rakan Muda terima pentauliahan peringkat Labuan

Foto RTM Labuan

LABUAN, 15 Disember- Hampir 200 peserta Rakan Muda menerima pentauliahan pingat gangsa dan perak, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) peringkat Labuan.
 
Majlis pentauliahan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan (JBS) Labuan, Mohammad Syahffie Hj Japril yang bertempat di Dewan Utama UMS Kampus Antarabangsa Labuan.
  
Peserta berkenaan melibatkan daripada pelajar sekolah SSN SMK Mutiara, SM Sains Labuan, SMK Labuan, SMA MAIWP, Kelab Rakan Muda, Majlis Belia Labuan dan Sekretariat Rakan Muda (SRM) UMSKAL.
 
Selain penyampaian pingat ARPRM, turut disampaikan sijil pengiktirafan Pemimpin ARPRM kepada 50 individu dalam kalangan guru dan pemimpin belia.
 
Dalam pada itu, Mohammad Syahffie memaklumkan pada tahun 2024, seramai empat peserta ARPRM dijangka bakal menerima pingat emas ARPRM.
 
Secara keseluruhan hampir 400 penerima keseluruhan pingat gangsa dan perak telah menerima pertauliahan di Labuan bagi tahun 2023.
 
Program ARPRM merupakan sebuah program pengiktirafan oleh kerajaan di atas penglibatan remaja secara aktif dalam bidang-bidang yang menyumbang ke arah proses kematangan mereka.
 
Anugerah itu diadaptasi daripada program The Duke of Edinburgh’s Award atau kini lebih dikenali sebagai 'The International for Young People' yang mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 1956.
 
Program anugerah antarabangsa itu kini diiktiraf di 126 buah negara di seluruh dunia.

ARPRM terbuka kepada semua remaja yang berumur di antara 14 hingga 25 tahun tanpa mengira perbezaan jantina, agama, budaya mahupun kemampuan fizikal dan mental.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM