SEKINCHAN, 22 Februari- Sebanyak 20% pesawah di negara ini telah menyertai SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) bagi meningkatkan pengeluaran dan produktiviti hasil tanaman padi tempatan pada masa depan.
Jumlah itu dijangka meningkat berikutan keberkesanan skim yang dilaksana kerajaan di beberapa negeri seperti di Selangor dan Perak sejak dua tahun lalu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pelaksanaan itu terbukti berjaya meningkatkan hasil pendapatan pesawah dengan menggunakan pengurusan yang lebih sistematik dan teratur.
Katanya, pelaksanaan SMART SBB itu juga diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara pada beras import.
Beliau juga mengingatkan kepada para pesawah supaya tidak mendengar persepsi buruk yang cuba ditimbulkan oleh pihak tertentu kononnya kerajaan ingin mengambil alih tanah sawah dan sebagainya bagi melaksanakan program SMART SBB.
Beliau berkata demikian selepas lawatan kerja program SMART SBB di Tali Air 3 Sekinchan, Selangor.