fb fb fb fb fb

2,300 hektar sawah padi di Wilayah Tiga, Pendang masih ditenggelami air

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh meninjau kawasan yang masih ditenggelami air di sekitar Alor Pudak, Pendang

PENDANG, 25 September- Sebanyak 2,300 hektar kawasan sawah padi di Wilayah Tiga, Pendang, Kedah masih ditenggelami air sejak 9 hari lalu.

Wilayah Tiga merupakan kawasan yang paling teruk terjejas daripada keseluruhan 5,900 hektar sawah padi di kawasan Muda yang ditenggelami air.
  
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, hasil tinjauan yang dilakukan mendapati, pergerakan air dari kawasan sawah padi ke Sungai Pendang sangat perlahan.
 
Keadaan itu dijangka berlarutan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi sebelum paras air kembali kepada paras normal, bergantung kepada keadaan cuaca.
 
"Kita bersimpati dengan peladang-peladang kita. Insya-Allah, pihak MADA akan membuat bancian seperti biasa dan insya-Allah akan ada bantuan bencana seperti yang telah ditetapkan. Kepada peladang-peladang kita yang berada di tepi sungai ini, jaga keselamatan, jaga kesihatan", katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas meninjau kawasan yang masih ditenggelami air di sekitar Alor Pudak, Pendang, Kedah.
 
Tinjauan bertujuan untuk mendengar sendiri keluhan dan keperluan para peladang yang terkesan serta memastikan tindakan segera dapat diambil bagi membantu memulihkan kawasan yang terjejas.
 
Sumbangan turut diberikan kepada para peladang yang terkesan agar dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi cabaran akibat banjir.
 
Jelas Datuk Dr Ismail, selain sawah padi, 50 hektar tanaman mangga cokanan dan harum manis di kawasan berkenaan turut ditenggelami air.

ROSLINA BINTI DIN