PUTRAJAYA, 9 Oktober -Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng kini dalam tahanan polis Malaysia.
Individu itu kini sedang disiasat berkaitan penglibatannya dalam skandal 1MDB.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, tiada garis masa tetap untuk pemenjaraan Roger di Malaysia.
"Pendirian kerajaan adalah untuk tujuan mengusahakan sebarang bentuk mengambil semula aset atau pun memulihkan semula aset dalam dua bentuk sama ada daripada dalam Goldmann Sachs atau daripada 1 MDB.
"Jadi, agensi terlibat berpendapat terdapat keperluan membawa Roger pulang bagi melaksanakan tugas (siasatan).
"Sehingga itu, kita akan sentiasa berhubung dengan DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat)", katanya pada sidang media selepas sesi libat urus dengan Badan Pengurusan Keharmonian Agama, di sini.
Roger Ng, disabitkan bersalah oleh mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Mac lalu kerana bersubahat mencuri RM165 juta daripada 1MDB, dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di sana.
Namun hukuman itu ditangguhkan, susulan permintaan Malaysia agar suspek diekstradisi bagi menghadapi pertuduhan di Malaysia.
Sementara itu, Saifuddin turut berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menambah baik arahan pentadbiran baharu berkaitan isu penggunaan kalimah Allah tanpa mengubah empat perkara utama dalam Perlembagaan negara.
Tambah Saifuddin, perkara itu merupakan cadangan selepas hasil sesi libat urus Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkenaan kawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah 'Allah', yang akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober ini.
"Perkara berkaitan agama Islam, raja adalah pihak berautoriti, kena bentang termasuk, apa-apa input di sana
"Jika ada pandangan tambahan, akan dihantar balik semula ke KDN untuk diteliti dan akan jadi panduan untuk merangka arahan pentadbiran, gunanya bertujuan mengurus hal seperti ini", kata Saifuddin.
Menurut Saifuddin, kerajaan turut mengambil kira keselamatan negara dan kemaslahatan ummah serta kedudukan Baginda serta Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam.
(Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution)