KUALA LUMPUR, 2 Mac- Keputusan sama ada Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB akan diketahui esok.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, akan menyampaikan keputusan itu pada 9 pagi.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.
Pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi pada pada 7 September 2022.
Antara saksi pendakwaan termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad.
Berdasarkan kertas pendakwaan Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, dituduh menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.
Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.
(Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur
hari ini bagi sambungan prosiding perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kesalahan didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Sabit kesalahan boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan drngan pendakwaan setakat ini telah memanggil 44 saksi.
Dua lagi kes membabitkan pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.