fb fb fb fb fb

195 PATI ditahan di kawasan bekas tapak binaan Gelang Patah

JOHOR BAHRU, 14 Oktober - Jabatan Imigresen berjaya menahan 195 pendatang asing tanpa izin (PATI), hasil serbuan di dua buah penempatan haram kawasan bekas tapak binaan di Gelang Patah, di sini, awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen negeri Baharuddin Tahir dalam kenyataan berkata, serbuan dilakukan susulan aduan orang awam mengenai kehadiran PATI dipercayai tidak mempunyai dokumen sah.

Lokasi penempatan tersebut jauh dari laluan utama selain dikelilingi pokok sawit dan kontena lama bagi memudahkan PATI meloloskan diri.

"Seramai 641 warga asing dan tempatan diperiksa, termasuk pemeriksaan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 62 lelaki Myanmar, 55 lelaki Bangladesh, 28 lelaki India, 26 lelaki dan lima wanita Indonesia, 16 lelaki Pakistan, 2 lelaki dari negara China dan seorang warga Timor Leste ditahan," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

 

Media Baharu