fb fb fb fb fb

19 hari hilang, Prebet Muhammad Syafiq ditemui selamat

Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi

KUALA LUMPUR, 6 Julai- Anggota Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika menyertai Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) di Limbang, Sarawak pada 18 Jun lalu ditemui selamat hari ini.

Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abdul Halim ditemui dalam keadaan selamat lengkap bersama peralatan dan senjata namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi.

Beliau seterusnya diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

Melalui satu kenyataan, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan Prebet Muhammad Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian sehingga beliau berjaya menemui lokasi Forward Operating Base (FOB) Tim A.

Keluarga Prebet Syafiq telah dihubungi oleh pihak TDM menerusi panggilan telefon dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat.

Semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM.

TDM juga akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada prosuder operasi standard (SOP) sedia ada.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE