fb fb fb fb fb

188 teknologi dipamerkan bersempena ShowTech 2025

Seramai 148 usahawan terlibat tahun ini/RTM

SERDANG, 8 Mei - Sebanyak 188 teknologi, merangkumi lapan kluster utama akan dipamerkan bersempena dengan Showcase Teknologi MARDI 2025 (ShowTech 2025).

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani, berkata ia meliputi kaedah pengawalan penyakit, varieti tanaman padi, serta pelbagai teknologi dan inovasi yang dibangunkan MARDI sejak 5 tahun lalu.

Tambahnya, seramai 148 usahawan turut terlibat. Angka itu meningkat berbanding 70 usahawan pada penganjuran kali pertama pada tahun 2023.

"Pada tahun 2023 kita cuma bawa seramai lebih kurang 70 orang usahawan kali ini kita sekali gandakan bilangan usahawan itu. 

"Sebenarnya ada banyak usahawan dibangunkan oleh MARDI termasuk usahawan makanan", katanya pada Majlis Taklimat Media yang diadakan di Ibu Pejabat MARDI di sini hari ini.

Program akan berlangsung selama lima hari, bermula dari 29 Mei hingga 2 Jun ini, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan Ibu Pejabat MARDI, Serdang.

Ia dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang masyarakat, termasuk petani, penternak dan usahawan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN