fb fb fb fb fb

16 stesen air tunjuk paras bahaya malam ini

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 11 Januari- Sejumlah 16 stesen air yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan bacaan melebihi paras bahaya, setakat pukul 10.00 malam tadi.

Menurut laman sesawang InfoBanjir JPS, lima daripadanya dicatatkan di Terengganu membabitkan daerah Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.

Ia melibatkan Empangan Puah, Hulu Terengganu dengan bacaan 300.54 meter (m); Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (38.31m); Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun (41.05m); Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun (21.95m) dan Sg. Tersat di Kampung.Sekayu, Hulu Terengganu (21.85m).

Pahang pula membabitkan empat stesen iaitu Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran (27.05m); Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, Rompin (9.9m); Sungai Kuantan di Bukit Kenau, Kuantan (22.89m) dan Sungai Lembing, Kuantan (40.61m).

Sementara Kelantan menunjukkan tiga stesen melibatkan Sungai Golok di Kg. Jenob (F1), Tanah Merah (24.17m); Sungai Kelantan di Kuala Besar, Kota Bharu (2.56m) dan Sungai Nal di Kampung Sungai Nal, Kuala Krai (25.18m).

Johor pula merekodkan Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (14.62m) dan Sungai Sarang Buaya di Kampung Parit Tengah, Muar (4.91m).

Sarawak dan Sabah masing-masing mencatatkan satu sungai melebihi paras bahaya iaitu Sungai Salim B, Sibu (3.12m) dan Sungai Kinabatangan di Barek Manis, Kinabatangan (7.65m).

SITI AISHAH BINTI MD ISA