fb fb fb fb fb

1500 Bakul Rahmah dihantar ke Tambun, Perak

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Sebanyak 1500 Bakul Rahmah dan 6 buah lori telah dilepaskan ke Tambun oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Flag Off” Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun tersebut telah diadakan di Lobi Pejabat Ketua Majlis, Bangunan Parlimen, di sini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam kenyataannya hari ini, KPDN telah melancarkan Inisiatif Bakul Rahmah melalui Program Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh kementerian pada awal tahun bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan ini.


(“Flag Off” Konvoi Bakul Rahmah ke Tambun di Lobi Pejabat Ketua Majlis,
Bangunan Parlimen / Foto KPDN)

"Sehingga hari ini, sebanyak 26,150 Bakul Rahmah telah diagihkan ke seluruh Malaysia dengan bantuan sumbangan berbentuk makanan asas daripada Yayasan Global Mesra (YGM).

"Kementerian akan menggerakkan Inisiatif Bakul Rahmah ini dengan kerjasama bersama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, sehingga hari ini, Inisiatif Bakul Rahmah ini semakin mendapat perhatian ramai terutama syarikat korporat dan hal ini akan diumumkan dari semasa ke semasa. KPDN amat berbesar hati untuk menerima sumbangan berbentuk makanan harian daripada semua pihak untuk diagihkan kepada golongan berpendapatan rendah dengan lebih berkesan, konsisten dan bersasar.

"Kementerian berharap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), tokoh korporat, dermawan dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menggembleng tenaga dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar dan seterusnya menjayakan Inisiatif Bakul Rahmah ini," katanya

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang giat aktif membantu melaksanakan Kementerian dalam membantu golongan sasar.

Katanya lagi, beliau dan kementerian amat mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat, organisasi-organisasi dan orang perseorangan sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat dalam membantu golongan yang memerlukan khususnya mangsa bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir.

Media Baharu