fb fb fb fb fb

15.6 Juta individu lengkapkan suntikan dos penggalak

(GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR, 28 Mac - Sejumlah 16,814 dos penggalak diberikan kepada golongan dewasa semalam.

Ia meliputi 66.4 peratus populasi golongan itu dalam negara.

Sekali gus menjadikan jumlah pemberian dos penggalak setakat ini mencecah 15,632,112.

"Pemberian dos pertama vaksin kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) juga meningkat," menurut data COVIDNOW.

(FOTO BERNAMA)

Semalam, 5,692 suntikan lagi diberikan menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos kepada kanak-kanak melonjak kepada 1,312,205 atau menyamai 37 peratus populasi golongan itu dalam negara.

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,848,821 individu atau 91.6 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,946,103 atau 94.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sebanyak 24,254 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 6,622 suntikan pertama, 818 suntikan lengkap dan 16,814 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,701,958 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 37 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan kematian tertinggi sebanyak 12 kes diikuti Kedah enam kes serta Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing empat kes.

Selain itu, Pulau Pinang merekodkan tiga kes, Sarawak dengan dua kes manakala masing-masing satu kes di Perak dan Sabah.

Media Baharu