fb fb fb fb fb

140 ‘hotspot’ ponteng puasa di Pulau Pinang - JHEAIPP

(Seorang lelaki ditahan makan dan minum di tempat awam di siang hari pada bulan Ramadan)

GEORGETOWN, 5 April- Sebanyak 140 kawasan panas atau ‘hotspot’ dikenal pasti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) sebagai kawasan yang kerap menjadi tumpuan kaki tidak berpuasa.

Menurut Ketua Penolong Pengarah JHEAIPP, Anwar Ismail, ke arah itu, pihaknya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi bersepadu lain terus menggerakkan operasi untuk mengambil tindakan.

Katanya, bukan hanya tertumpu di kawasan ‘hotspot’, operasi juga menjurus kepada premis makanan yang menjual makanan kepada orang yang tidak berpuasa.

"Insya Allah kita akan laksanakan kesemua operasi di 'hotspot' yang telah kita kenal pasti memang menjadi tempat tumpuan orang yang tidak berpuasa. Lebih kurang 140 hotspot berada dibawah pemantauan dan pemerhatian kita," katanya selepas mengadakan operasi sekitar sini.

Dalam operasi yang disertai Anwar itu, seramai 30 lelaki beragama Islam ditahan kerana disyaki tidak berpuasa.

Umat Islam di Pulau Pinang yang didapati sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syar’ie ketika Ramadhan boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

(Barang bukti)

Media Baharu