fb fb fb fb fb

14 PATI warga Myanmar ditahan cuba memasuki Malaysia

BUKIT KAYU HITAM, 26 Oktober- 14 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar ditahan ketika cuba memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak sah semalam.

Tangkapan dibuat di sektor Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata, PATI berkenaan dikesan pada pukul 10.30 pagi ketika Tim Ronda sedang melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

"Sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan dikesan cuba bersembunyi di laluan sungai sekitar kawasan Kemajuan Tanah Bukit Tangga.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan berumur antara 18 hingga 39 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita," menurut kenyataan itu.

(14 PATI warga Myanmar ditahan ketika cuba memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak sah)

Turut dirampas tiga telefon bimbit, wang tunai, 10 kad pengenalan warga Myanmar dan tujuh beg pakaian.

Keseluruhan rampasan bernilai RM1,500.22.

Media Baharu