fb fb fb fb fb

14 kereta sewa haram disita dalam operasi di LTAL

LANGKAWI, 8 Mei- Sebanyak 14 kenderaan disita dalam Op Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) yang dilaksana selama tiga hari berakhir semalam.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan, tindakan itu diambil terhadap kenderaan milik persendirian yang digunakan sebagai kereta sewa pandu sendiri dan tidak memiliki permit sah.

"Kereta tersebut antara 44 buah kenderaan yang diperiksa.

Operasi kali ini adalah untuk membuat pemeriksaan terhadap penyedia perkhidmatan kereta sewa, teksi, e-hailing dan kereta sewa haram," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

(Datuk Lokman Jamaan, Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ)

Menurut beliau, kenderaan disita kerana menyalahi Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Tambahnya, 15 buah teksi dan 15 kenderaan e-hailing yang turut diperiksa dalam operasi tersebut pula didapati tidak melakukan sebarang kesalahan.

Beliau berkata, JPJ juga sentiasa melaksanakan strategi advokasi bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya seterusnya mengekang isu penipuan kepada pelancong yang berkunjung ke pulau peranginan itu.

Orang ramai boleh membuat aduan kesalahan penyedia perkhidmatan awam dengan menggunakan aplikasi MyJPJ atau menerusi email kepada Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Media Baharu