SELANGOR, 8 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulang pendiriannya untuk tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi menjamin masa depan lebih baik kepada pencarum.
Katanya, meskipun perkara itu bakal menjadi polemik politik terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) beliau kekal dengan pendirian untuk tidak berbuat demikian.
"Kita kena ambil keputusan yang penuh dan tidak harus mengambil keputusan yang terpaksa hanya untuk memenuhi selera bagi sesetengah kumpulan individu.
"Untuk pertimbangan bagi yang benar-benar menghadapi permasalahan dan menoktahkan kemiskinan tegar, saya tidak akan bertolak ansur. Mustahil dengan aset bernilai RM1 trilion ringgit KWSP dengan negara catat beberapa kemajuan lain dan keupayaan semua yang ada selain memiliki bangunan terserenggam indah kita ada upaya noktahkan perkara ini," katanya selepas merasmikan Menara Baharu KWSP di Kwasa Damansara. di sini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan panel penilai pelaburan KWSP harus sentiasa profesional dan bebas pengaruh orang atasan.
Ini penting bagi melindungi kepentingan para pencarum dan negara.
Hala tuju baharu untuk beri lebih peluang kepada belia dan sektor pertanian terlibat dalam pelaburan KWSP juga perlu dikenalpasti.
Ini selari aspirasi Malaysia MADANI yang digagaskan Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, KWSP digesa tingkatkan pelaburan domestiknya kepada 70 peratus tahun ini berbanding 64 peratus tahun lalu.
Fokus tersebut harus tertumpu kepada syarikat pemula tempatan yang inovatif dan catat pertumbuhan tinggi.
(Anwar Ibrahim)