PUTRAJAYA, 21 FEBRUARI - Kementerian Pendidikan memperkenal 14 elemen nilai kehidupan berlandaskan konsep Sekolahku SEJAHTERA sebagai satu langkah ke arah pembentukan budaya amalan baik di sekolah oleh guru dan murid.
Ia merangkumi elemen seperti selamat, seronok, sihat, etika, empati, jati diri, adab sopan, harmoni, tekun, teliti, terampil, ekplorasi, rasional, dan artikulasi.
Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata ia bagi mengukuhkan pelaksanaan program penerapan nilai-nilai murni yang sedia ada diperingkat sekolah agar lebih berstruktur dan bersistematik.
"Warga sekolah akan berasa selamat, tidak terasa terancam dan seronok berada di sekolah.
"Malaysia dikenali dengan budaya adab sopan, jika tidak ditekankan dari generasi ke generasi maka nilai-nilai murni akan meninggalkan kita sedikit demi sedikit.
"Oleh itu, adab sopan perlu diteruskan tanpa mengenal usia," katanya pada Majlis Pelancaran Konsep Sekolahku SEJAHTERA, di sini hari ini.
Warga sekolah juga akan meneroka pelbagai cabang ilmu, idea dan penemuan baharu yang sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif dalam penyelesaian masalah.
Katanya, penerapan elemen SEJAHTERA bermula dari peringkat prasekolah dan berterusan sehingga peringkat menengah dan diamalkan sepanjang hayat.
"Konsep Sekolahku SEJAHTERA bermatlamat untuk melahirkan insan sejahtera yang menyumbang kepada kemakmuran keluarga, masyarakat, negara dan komuniti global.
"Penerapan elemen SEJAHTERA dalam kalangan murid perlu sokongan holistik bersama dalam dan luar sekolah bagi kesejahteraan murid.
Radzi Jidin berkata, setiap aktiviti perlu diperkukuh dengan memberi fokus kepada aktiviti berpusatkan murid.
"Setiap aktiviti perlu berbentuk konstruktif (membina) yang menyediakan peluang untuk murid mencipta idea baharu dan meningkatkan kemahiran seperti melakukan pembentangan, melukis peta minda dan membuat refleksi.
"Ini akan membantu murid memahami, menghayati dan belajar daripada pengalaman mereka dan menerokai potensi diri," tambahnya lagi.
Konsep ini juga bermatlamat untuk menambah baik peranan guru untuk membimbing murid dalam amalan harian.