SIMPANG PULAI, 21 Februari - Kejadian hujan dan angin kencang melanda Kampung Sengat, Simpang Pulai Ipoh, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Shaharudin Tuan Ali mengesahkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pokok tumbang di kawasan berkenaan.
Kerja pembersihan pokok tumbang tersebut dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh.
Dalam kejadian itu, hanya sebuah rumah penduduk terjejas.
Warga emas Fatimah Shafie, 68 tahun meluahkan rasa sedih apabila melihat rumah yang didiami sejak lebih 35 tahun lalu musnah dalam sekelip mata.
Menurut Fatimah, kejadian selepas Asar itu berlaku terlalu pantas dan kali pertama melanda kampung tersebut.
Hujan lebat berserta angin kencang menyebabkan bahagian dapur dan dua bilik tidur rumahnya rosak teruk.
"Mak cik ketika itu berada di dalam bilik. Angin kuat dari arah dapur mak cik, dan memusnahkan keseluruhannyalah," kata Fatimah di sini.
Buat sementara waktu, beliau dan enam lagi ahli keluarganya akan tinggal di rumah wakaf yang disediakan pihak masjid berdekatan.