SEPANG, 23 Julai- Seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar yang dibawa pulang dari Bangladesh, selamat tiba di tanah air, pukul 4.56 petang tadi.
Kesemua mereka tiba di KLIA Terminal 2, menerusi penerbangan khas pesawat AirAsia (AK0076) atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketibaan mereka turut disambut Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
"Daripada 123 orang itu, 80 adalah pelajar, 43 adalah bukan pelajar, rakyat Malaysia selebihnya. Namun, terdapat rakyat Malaysia yang tinggal di Bangladesh, buat masa ini memilih untuk terus berada di Bangladesh."
"Ada yang terus menetap dengan ahli keluarga dan bagi kesemua senario ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus bertanggungjawab dengan peranan mereka iaitu memantau dan terus mengekalkan komunikasi dengan mereka yang berada di sana," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada pemberita.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya menjelaskan bahawa mereka yang memilih untuk kekal disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka bagi menerima maklumat terkini dan sokongan, jika perlu.
"Pihak suruhanjaya sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin."
"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan serta memastikan semua rakyat Malaysia di Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan," kata kenyataan itu.
Kerajaan Malaysia juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses membawa pulang rakyat Malaysia dapat dilaksanakan dengan berkesan.