SHAH ALAM, 23 Julai- Kemahiran fisioterapi akan disenarai sebagai salah satu bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kursus persijilan di peringkat bawahan akan ditawar di beberapa institusi TVET yang akan diumum kelak.
Beliau berkata, ia bertujuan mengatasi isu kekurangan tenaga mahir sektor penjagaan kesihatan dan rehabilitasi di negara ini.
"Negara kita memerlukan ahli fisioterapi yang ramai, maka ini adalah bidang yang juga harus diceburi tanpa melalui sistem akademik yang biasa.
"Ini adalah bagi memenuhi keperluan kepada kadar kependudukan. Di negara-negara maju kadar seorang fisioterapi bagi setiap 2000 penduduk. Di negara kita seorang fisioterapi kepada 7,400 penduduk", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan ProPain di Shah Alam.
Selain itu, ia turut memberi peluang kepada mereka yang kurang cemerlang akademik berjaya dalam bidang lain khususnya bidang kemahiran.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, ia merupakan langkah jangka masa panjang yang harus digarap peserta TVET kerana gaji yang ditawarkan jauh lebih baik.