KOTA BHARU, 6 Jun- Seramai 120 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan miskin di seluruh Kelantan akan menerima Bantuan Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan melalui peruntukan pembasmian kemiskinan berjumlah RM9.6 juta tahun ini.
Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), Datuk Azman Ibrahim berkata, selain itu, seramai 240 KIR miskin tegar dan miskin diberi bantuan baik pulih rumah berjumlah RM5.8 juta.
Menurutnya, buat masa ini, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan telah meluluskan sebanyak 175 projek baik pulih rumah dan 76 bina baru rumah melibatkan golongan miskin tegar dan miskin peserta eKasih di negeri berkenaan.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Projek Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan ICU JPM di Kampung Tikat, di sini.
Program bina baharu dan baik pulih rumah juga merupakan satu strategi untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kualiti hidup selaras dengan agenda Malaysia Madani.
Sementara itu, penerima kunci rumah, Wan Norizan Mohd. Nawawi berkata, dia amat terharu dan tidak menyangka kerana akhirnya dapat memiliki rumah sendiri.
Katanya, sebelum ini, dia bersama suami dan empat orang anaknya hanya menumpang di rumah neneknya yang sangat uzur dengan keadaan dinding yang reput.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ICU JPN Ketua Pengarah.Terima kasih tidak terhingga daripada kami sekeluarga.
"Saya harap orang lain dapat peruntukan atau pun dapat benda sama macam saya", katanya ketika ditemui RTM di sini.