KUALA LUMPUR, 6 Jun- Malaysia dan Ghana membincangkan hubungan dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk pemilihan Setiausaha Agung Komanwel pada Oktober.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, perbincangan itu berlaku semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar dan Integrasi Serantau Ghana, Shirley Ayorkor Botchwey yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.
"Perbincangan tertumpu kepada pencalonan beliau (Botchwey) dalam pemilihan Setiausaha Agung Komanwel yang akan berlangsung pada Oktober 2024," katanya.
Wisma Putra berkata, itu merupakan lawatan pertama Botchwey ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Menteri Luar dan Integrasi Serantau Ghana pada Januari 2017.
Negara republik itu merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di Afrika pada tahun 2023 dengan jumlah perdagangan bernilai RM2.08 bilion dan lebihan dagangan sebanyak RM15.45 juta berpihak kepada Malaysia.
Peningkatan perdagangan berkenaan menunjukkan potensi hubungan ekonomi dan kepentingan bersama yang mempertingkatkan hubungan dua hala.