fb fb fb fb fb

116 calon SPM positif COVID-19, tidak duduki peperiksaan lisan

 


AYER KEROH, 9 Februari- Seramai 116 daripada 13,134 jumlah keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Melaka tidak dapat menduduki peperiksaan lisan Bahasa Melayu yang bermula pada Selasa kerana positif COVID-19 dan sedang dikuarantin.

Exco Pendidikan dan Teknologi, Datuk Rais Yasin berkata, bagaimanapun mereka yang terlibat itu boleh menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua yang berlangsung April depan.

Menurutnya, JPN telah menghantar senarai calon kepada Lembaga Pemeriksaan beserta dokumen untuk dipertimbangkan bagi membolehkan mereka menjalani ujian tersebut.

"Setakat ini juga tiada lagi sekolah ditutup akibat COVID-19 dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengambil inisiatif menyuraikan pelajar asrama mengikut kategori pada penutupan sekolah lalu.

"Data sehingga 8 Februari lalu seramai 50 orang masih positif manakala 206 sedang dikuarantin.

"Bilangan murid yang positif dan telah sihat pula seramai 179 orang dan 690 pelajar telah potong gelang," katanya selepas merasmikan Akademi Ragbi Melaka, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Rais berkata, JPN tidak menghalang penguat kuasa kesihatan untuk melakukan pemantauan dan permeriksaan di sekolah.

Namun, menurutnya pemakluman kepada pihak berkenaan termasuk pentadbiran sekolah perlu dibuat supaya tidak timbul sebarang masalah dan kesulitan.

Katanya, dalam waktu sukar ini semua pihak harus bekerjasama dan bukan masa untuk mencari salah mana-mana pihak.

"Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu terus dipertingkatkan," katanya.

Media Baharu