fb fb fb fb fb

11 tahun misteri MH370: Malaysia teguh teruskan pencarian

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 8 Mac- Malaysia menegaskan komitmen untuk meneruskan operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 11 tahun lalu.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan, selaras keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember 2024, kerajaan bersetuju menerima cadangan Ocean Infinity dari United Kingdom bagi memulakan semula operasi pencarian di kawasan baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi.

Operasi itu akan dijalankan berdasarkan prinsip "no find, no fee", iaitu tiada sebarang bayaran akan dibuat melainkan bangkai pesawat ditemukan.

Menurut MOT, usaha pencarian berkenaan adalah tanggungjawab kerajaan bagi menjejaki lokasi terakhir MH370, sekali gus memberikan jawapan yang amat diperlukan oleh waris mangsa.

"Kita sedar akan perhatian tinggi masyarakat terhadap usaha ini. Justeru, MOT sedang giat memuktamadkan perjanjian pencarian baharu selaras dengan prosedur kerajaan Malaysia," menurut kenyataan itu.

Misi pencarian turut mendapat sokongan teknikal daripada United States National Transportation Safety Board (NTSB) dan Australian Transport Safety Bureau (ATSB) yang telah melantik wakil bertauliah masing-masing.

Kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam salah satu operasi pencarian paling kompleks dan mencabar dalam sejarah penerbangan moden.

"Hari ini, genap 11 tahun sejak kehilangan pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

"Meskipun masa terus berlalu, ia tidak mengurangkan rasa duka dan ketidakpastian yang ditanggung waris mangsa. Kerajaan kekal komited meneruskan pencarian bagi mendapatkan jawapan yang dicari," menurut kenyataan MOT.

Pesawat MH370 hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipercayai berakhir di Selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis satelit.

Setakat ini, beberapa serpihan pesawat telah ditemukan di pantai-pantai sekitar Lautan Hindi, namun lokasi sebenar bangkai pesawat masih belum dikenal pasti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE