(Tiga buah rumah 90 peratus musnah dalam kebakaran awal pagi tadi/FOTO Bomba)
KANGAR, 8 Julai - 11 individu nyaris maut dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah yang bersebelahan antara satu sama lain di Taman Bukit Kaya Kangar, di sini, awal pagi tadi.
Salah sebuah rumah yang dijadikan kopitiam turut musnah dalam kebakaran itu termasuk sebuah kereta dan motosikal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Halid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 6.31 pagi.
"Tiga buah jentera berserta kenderaan utiliti dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar dan Kuala Perlis serta Pasukan Bomba Sukarela Kuala Perlis bersama 21 anggota bergegas ke lokasi kebakaran.
"Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan kediaman berkenaan berjaya dikawal 8.00 pagi tadi dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 9.00 pagi," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, tiga buah rumah setingkat kelas A berkeluasan 44 x 90 kaki persegi itu musnah 90 peratus dalam kebakaran.
Menurutnya, tiada mangsa yang cedera dan pihak forensik sedang mengumpulkan bukti bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling turut berada dilokasi kebakaran dan jumlah mangsa yang terlibat sedang dikemaskini bagi agihan bantuan.