(FOTO BERNAMA)
BATU GAJAH, 8 Julai - Galeri Rumah Lat dirasmikan dalam majlis penuh bermakna hari ini setelah ia tertangguh selama beberapa tahun.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan galeri kartunis terulung negara Lat atau nama sebenarnya, Datuk Mohd Nor Khalid.
Turut berangkat sama, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Ketibaan baginda berdua pada kira-kira 10 pagi disambut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Lat.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah, Lembaga Muzium Negeri Perak dan barisan exco kerajaan negeri.
Sultan Nazrin seterusnya berkenan melakukan gimik perasmian dan menandatangani plak perasmian sebelum melakukan lawatan ke Galeri Rumah Lat.
Terdahulu, Saarani dalam sembah ucapannya berkata Galeri Rumah Lat dibina dengan kos berjumlah RM3.81 juta, dibiayai oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan siap ia sepenuhnya pada Januari 2022.
Manakala kerja-kerja pengisian pameran pula disiapkan pada 30 Jun lepas dengan kos bernilai RM700,000 dengan pembiayaan menggunakan wang sumbangan kementerian.
"Kerajaan negeri pula bertindak menampung seluruh kos operasi galeri dari segi fizikal, selanggara dan perjawatan.
"Ia sejajar dengan Sasaran Agenda Perak Sejahtera 2030 yang antara lainnya menekankan Sejahtera Sosial bagi memupuk dan mengekalkan Seni Budaya dan Warisan.
"Usaha Kerajaan Negeri mengangkat usaha-usaha kreatif anak-anak kelahiran Perak akan menghasilkan ramai lagi tokoh-tokoh dalam bidang berkaitan pada masa akan datang" katanya.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, Sultan Nazrin berkenan mengumumkan Lat sebagai Seniman Diraja.
Baginda bertitah pengumuman itu bagi mengiktiraf peranan dan sumbangan besar oleh seniman agung itu memperkenalkan Malaysia di pentas antarabangsa dan mengharumkan nama negara.
Baginda turut bertitah khazanah yang dipamerkan di Galeri Rumah Lat diharapkan akan menjadi sumber inspirasi kepada rakyat terutama anak muda Malaysia.
Ujar baginda legasi seniman agung itu harus diperturunkan kepada generasi muda sebagai pewaris seterusnya dan menjadi sumber khazanah yang amat bernilai buat rakyat.
"Semoga Galeri Rumah Lat, kekal sebagai satu simbol pencapaian hebat seorang seniman yang Allah SWT telah mengurniakan bakat tersangat istimewa dan luar biasa.
"Melalui lakaran yang santai dan bersahaja, Lat berjaya mengetengahkan pemerhatian yang tajam mengenai kehidupan masyarakat majmuk yang hidup dalam harmoni ," titah baginda.
(Sultan Nazrin melakukan lawatan ke Galeri Rumah Lat diiringi Datuk Mohd Nor Khalid (Lat)/ BERNAMA)
Galeri Rumah Lat mempamerkan sejarah hidup, liku-liku perjalanan seorang anak seni, merakamkan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang dicapai oleh seorang ‘kampung boy’ yang berhijrah menjadi ‘town boy’ dan kini bertaraf seniman ternama di peringkat antarabangsa.
Lat menunjukkan minat mendalam terhadap lukisan-lukisan komik dan kartun yang tersiar dalam akhbar-akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman sejak kecil dan diberikan dorongan oleh keluarganya.
Antara karya awal beliau ialah 'Tua Keladi' yang disiarkan dalam Majalah Filem yang diterbitkan di Singapura pada 1966 dan 'Keluarga Si Mamat' yang pertama kali disiarkan pada 1968 dalam Berita Minggu dan siri itu diterbitkan oleh akhbar berkenaan selama 26 tahun.