
KUCHING, 17 Ogos – Semua 107 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian yang ditutup sejak Khamis lalu kembali beroperasi seperti biasa mulai hari ini.
- Keputusan pembukaan semula dibuat berdasarkan bacaan IPU APIMS/JAS yang menunjukkan keadaan semakin baik.
- JPN Sarawak mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid ketika cuaca panas atau luar jangka.
- Sekolah diingatkan mematuhi SOP serta merujuk Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan jerebu.
- Institusi diminta memantau APIMS, ikut Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023 dan saranan KKM untuk keselamatan kesihatan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menerusi Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan semakin baik, pada pukul 1 tengah hari semalam.
JPN Sarawak berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika menghadapi cuaca panas atau keadaan cuaca luar jangka.
Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Pada masa sama, pihak sekolah diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta merujuk Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1 Tahun 2019 berkaitan langkah menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu dan dianggap kritikal,” menurut kenyataan itu.
JPN Sarawak turut menasihatkan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya supaya mematuhi garis panduan dalam Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2023 berkaitan pelaksanaan aktiviti luar institusi pendidikan ketika cuaca panas.
Institusi pendidikan juga diminta sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dengan merujuk APIMS bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing.
Selain itu, warga institusi pendidikan perlu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa bagi memastikan kesihatan dan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah terus terpelihara.
Sementara itu, keadaan jerebu di seluruh negara menunjukkan perkembangan positif setakat jam 9 pagi tadi, dengan hanya Johan Setia, Selangor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu 151.
Serian dan Samarahan pula masing-masing mencatatkan bacaan IPU 96 dan 90, iaitu pada tahap sederhana dan menunjukkan penurunan berbanding bacaan pada awal pagi.