fb fb fb fb fb

100 pelajar Parlimen Tambun terima bantuan daripada PM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- 100 pelajar dalam kalangan keluarga B40 di Parlimen Tambun berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara menerima sumbangan berjumlah RM50,000.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Munim berkata, setiap pelajar itu menerima RM500.

"Sumbangan ini bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup keluarga pelajar yang dibantu agar mereka turut mendapat kualiti pendidikan sama seperti mereka yang lain," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata sumbangan itu diharap mampu memberi suntikan motivasi pelajar untuk meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

"Perdana Menteri melalui Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun komited untuk membantu golongan pelajar menerusi pelbagai inisiatif berlandaskan aspek pembangunan program, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di negara ini," katanya.

Muhammad Kamil berkata inisiatif berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan dan memfokuskan kepada pelajar dalam kalangan keluarga B40.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI