10 tan metrik ikan disediakan sepanjang Program MADANI Rakyat di Ipoh

Foto FB LKIM Perak

IPOH, 3 April – Sebanyak 10 tan metrik pelbagai jenis ikan disediakan sepanjang penganjuran Program MADANI Rakyat dari 3 hingga 5 April ini bagi memenuhi permintaan orang ramai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan Agro MADANI merekod anggaran jualan kira-kira 3.5 tan metrik ikan setiap hari.
  • Harga ditawarkan lebih rendah berbanding pasaran untuk meringankan kos sara hidup rakyat.
  • Pelbagai spesies dibawa termasuk bawal mas, kembung, selayang, udang, sotong, kerang dan ketam.
  • Kerjasama komuniti nelayan memastikan bekalan mencukupi dan sebahagian kerang diberikan percuma kepada pembeli bertuah.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program Jualan Agro MADANI itu merekodkan anggaran jualan kira-kira 3.5 tan metrik ikan setiap hari.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding pasaran semasa bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“Hari ini, kami membawa pelbagai spesies ikan dengan jumlah keseluruhan kira-kira satu tan metrik (100,000 kilogram). Antara spesies yang dibawa termasuk ikan bawal mas, ikan kembung, ikan selayang, udang, sotong, kerang, ketam.

“Kerang dan kepang ini kebanyakannya diternak di Sungai Tinggi, justeru hasilnya amat banyak. Oleh itu, kami memberikan sebahagiannya secara percuma kepada pembeli yang bertuah”, katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Jualan Ikan Murah LKIM sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Program itu turut dilaksanakan dengan kerjasama komuniti nelayan bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang penganjuran.

Inisiatif itu merupakan usaha berterusan kerajaan memastikan rakyat mendapat akses kepada makanan laut pada harga berpatutan.