fb fb fb fb fb

10 suspek kes curi cip kasino di Genting Highlands ditahan

FOTO HIASAN

KUANTAN, 7 November - Polis Pahang menahan 10 suspek berhubung kes kecurian cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta di Genting Highlands pada 28 oktober lalu.

Kesemua suspek adalah lelaki termasuk seorang warga asing berusia 30 hingga 59 tahun ditahan di sekitar Genting Highlands, Raub, Ampang dan Nilai antara 29 Oktober hingga 1 November lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata menerusi penahanan itu pihak polis berjaya menemui dan merampas 428 keping cip bernilai lebih RM2.9 juta dan merampas wang tunai berjumlah RM16,438 serta sebuah pacuan empat roda.

Sebanyak 149 keping cip dirampas daripada suspek manakala 279 keping cip yang telah ditunaikan diperoleh semula daripada pihak kasino, dan baki 732 cip lagi sedang dikesan.

"Dalam kes ini telah mengenal pasti lima orang suspek lagi yang masih bebas, usaha untuk mengesan dan menangkap suspek ini masih giat dijalankan dan pihak polis mohon untuk mendapatkan maklumat daripada orang ramai untuk kita mengesan lima orang suspek yang kita kenal pasti antara suspek utama yang telah melakukan kesalahan ini," kata Yahaya kepada pemberita pada perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini.

Kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sehingga empat belas tahun.

Dalam kejadian pada 28 Oktober lalu sebuah bilik kasino khas telah dipecah masuk dan cip kasino yang berada dalam bilik berkenaan telah hilang disyaki dicuri.

Kejadian itu disedari pukul 10.00 pagi selepas pihak pengurusan kasino membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes di talian 09-2222222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

TETITIA YUSOFF