KOTA TINGGI, 15 Disember- Program Kampung Angkat MADANI - Kementerian Pertahanan (MINDEF) digerakkan di Kampung Baru Pasak, Kota Tinggi, Johor, sejak Julai lalu, berjaya disempurnakan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, 10 projek pembangunan termasuk pembinaan surau baharu, balai raya komuniti, dan dewan terbuka selesai dilaksanakan.
Kejayaan itu hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor, Jabatan Kerja Raya (JKR), pejabat daerah serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM.
"Kita telah diperuntukkan sebanyak RM 2.5 juta untuk kita melaksanakan pelbagai projek yang diperlukan masyarakat kawasan ini. Ia bertujuan untuk menjayakan konsep MADANI dan membawa kesejahteraan kepada masyarakat.
"Masyarakat termasuk luar bandar merasai kesan daripada kemajuan yang dilalui rakyat sebab itu kerajaan memperkenalkan konsep Kampung Angkat MADANI," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek bawah Program Kampung Angkat MADANI - MINDEF di Balai Raya Kampung Baru Pasak di sini.
Peruntukan itu untuk menaik taraf jalan, membaik pulih lima rumah penduduk, serta memperbaharui infrastruktur lain di kampung berkenaan.
Selain itu pembinaan surau baharu, dan pelbagai program komuniti akan diperhebatkan untuk memastikan manfaat terus dinikmati penduduk luar bandar.