KOTA TINGGI, 2 Mac- Sebanyak 10 jalan di daerah ini telah ditutup untuk semua kenderaan kerana dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Menerusi Facebook rasminya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi memaklumkan penutupan itu melibatkan Jalan Tun Sri Lanang (Bandar Kota Tinggi), Jalan Kampung Kelantan atau Kampung Panti serta Jalan Mawai Lama (Rumah Burung).
Kenyataan itu memaklumkanm turut ditutup malam ini ialah Jalan Sungai Telor selain Jalan Semangar Dalam dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (MARA) susulan air deras dengan kesemua jalan berkenaan paras airnya melebihi 0.4 meter.
Jabatan itu turut memaklumkan, empat lagi jalan iaitu Jalan Johor Bahru-Endau (Ladang RISDA), Jalan Johor Bahru-Endau (Yatamacity), Jalan Johor Bahru-Endau (sebelum hentian Rehat dan Rawat (RnR) Panti) serta Jalan Johor Bahru-Endau (RnR Panti) turut ditutup sepenuhnya dan pengguna disaran menggunakan jalan alternatif (lencongan).
(Jejantas Tun habab/FOTO FB JKR Kota Tinggi)
Sementara itu, dalam kemas kini pukul 10.30 malam ini, JKR Kota Tinggi memaklumkan, Laluan FT91 Jalan Kota Tinggi - Kluang, hanya dibuka satu lorong.
Maklumat terkini itu juga memaklumkan bacaan paras air di kawasan Jejantas Tun Habab mencatatkan rekod 0.20 meter.
"Sila patuhi arahan keselamatan dan berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air banjir," menurut hantaran Facebook berkenaan.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Mersing, Supt Abdul Razak Abdullah Sani, ketika dihubungi Bernama malam ini, berkata dua jalan di daerah Mersing turut ditutup kepada semua kenderaan melibatkan Jalan Nitar Utama dan Jalan Nitar-Tanah Abang.