fb fb fb fb fb

10 ahli Geng Kabali dijatuhi hukuman penjara

SEREMBAN 2, 13 Disember- Sepuluh daripada 11 ahli Geng Kabali dijatuhi hukuman penjara 18 bulan manakala seorang lagi dikenakan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan menjatuhkan hukuman itu terhadap 11 tertuduh iaitu K Sarugunan, 41; R Kamal Rajh, 28; L Navinraj, 29; S Ilangovan, 43; G Kartik, 28; G Ravikumar, 30; S Viven,23; S Sivabalan, 26; R Kunasekaran, 34; R Jeevanraj, 25 dan S Subramaniam, 53 yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara terhadap 10 yang tertuduh bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada Disember 2019.

Manakala seorang lagi iaitu Subramaniam yang dikenakan denda RM3,000 dikecualikan pembayarannya dengan mengambil kira tempoh remannya sebelum ini selama 463 hari.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Hasim meminda pertuduhan tertuduh daripada Seksyen 130V Kanun Keseksaan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) kepada Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh didapati menjadi anggota Geng Kabali yang merupakan satu pertubuhan menyalahi undang-undang.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 Februari hingga 27 November 2019, di lorong kecil di tepi jalan besar Batu 12 1/2, Jalan Rantau- Siliau, Rantau.

Berikutan itu tertuduh didapati melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.

Geng Kabali disyaki terlibat sekurang-kurangnya 65 kes samun di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, berjaya ditumpaskan apabila polis menahan 19 ahlinya melalui Op Kelawar sepanjang November hingga Disember lalu.

(Kompleks Mahkamah Seremban)

Media Baharu