TAIPING, 5 November - Satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Larut Matang dan Selama berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah menerusi satu kenyataan berkata, PPS Masjid Changkat Ibol telah beroperasi dan menempatkan 113 penduduk daripada 31 keluarga.
Kesemua mereka terdiri daripada 37 lelaki, 50 perempuan dan 25 kanak-kanak termasuk seorang bayi.
(Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Taiping petang semalam)
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri memaklumkan, pihaknya menerima maklumat awal berkaitan kejadian banjir kilat pada pukul 5.39 petang.
Antara kawasan terlibat adalah Kampung Cheh, Kampung Senduk Hulu, Kampung Bukit Cempedak dan Kampung Changkat Ibol.
Pemantauan masih dijalankan pihak berkaitan sebelum penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.