KAJANG, 25 Mac – Sebanyak 1.6 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama di seluruh Selangor sepanjang sambutan Aidilfitri minggu depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata seramai 71 pegawai dan 646 anggota trafik akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang tempoh perayaan.
Menurut beliau, aset yang digunakan termasuk 49 kereta peronda polis dan 87 unit rondaan bermotosikal.
“Cuti semua anggota trafik di Selangor dibekukan bagi memastikan penugasan berjalan lancar. Ops Selamat akan dijalankan secara rondaan di setiap daerah, melibatkan keseluruhan negeri Selangor.
“Terdapat 51 lokasi hotspot dan 36 black spot dikenal pasti untuk pemantauan ketat,” katanya selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena Hari Raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban.
Sebanyak tujuh lokasi operasi perangkap had laju telah ditetapkan, manakala 18 lokasi Ops Lancar akan dilaksanakan di seluruh Selangor.
Antara lokasi terlibat ialah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Plaza Tol Gombak.
Dalam perkembangan lain, mengenai kejadian samun bersenjata api di sebuah kedai emas di Kota Damansara Sabtu lepas, Hussein berkata siasatan kes itu kini hampir selesai.
Beliau berkata polis telah merakamkan 12 keterangan termasuk saksi dan suspek yang merupakan seorang anggota polis bantuan sebuah syarikat utiliti.
Sebelum ini, polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 32 tahun selepas disyaki melarikan tujuh dulang barang kemas dengan kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.