fb fb fb fb fb

1.6 juta kenderaan dijangka di lebuh raya sempena Tahun Baharu Cina, pengguna dinasihat ikut jadual TTA- PLUS


KUALA LUMPUR, 26 Januari- PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan bagi tempoh 28 Januari hingga 6 Februari ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataannya berkata sehubungan itu PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan buat orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

TTA itu dilaksanakan bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak sempena perayaan itu.

"Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Ini juga terpakai kepada mereka yang menghala Johor ke arah selatan. Bagi destinasi berhampiran dengan Lembah Klang dan negeri lain, pengguna perlu merancang perjalanan mereka dengan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari,” katanya.

Bagi ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari.

Pada masa sama, Zakaria berkata pihaknya turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berhenti di hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

Pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuat kuasakan dan orang ramai yang lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

Pemandu juga diingatkan sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan ketika memandu di lebuh raya.

Pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800 88 0000 yang beroperasi 24-jam setiap hari.

Bagi memastikan perjalanan yang lebih lancar di lebuh raya, pemandu harus memastikan baki kad Touch 'n Go dan baki eWallet RFID Touch 'n Go sentiasa mencukupi.

Media Baharu